Dia Mantan Kekasihku (Bab 3)

BAB 3

PULANG dari kolej, dia terus saja memandu keretanya ke kedai Alfira. Tidak tahu kenapa tiba-tiba saja dia membawa diri untuk ke sana. Dia berhentikan keretanya jauh sedikit dari kedai gadis itu. Jam yang kini sudah menunjukkan pukul 3 petang. Niatnya hanya mahu melihat apa yang dilakukan oleh Alfira.
          Kerja gila, kan bila tiba-tiba saja nak perhatikan kekasih orang? Tapi dia tak kacau pun Alfira cuma dia hanya mahu melihat gadis itu saja. Kereta Alfira memang ada saja terparking dari tadi di hadapan kedai yang berwarna biru itu. Jadinya, orangnya mesti ada di dalam.
          Nak buat apa ya supaya dia dapat berbual-bual dengan Alfira? Dia belum pernah lagi meminta maaf dengan gadis itu. Mungkin inilah saatnya.
          10 minit telah berlalu dan kini Hakim berada di dalam Bakery Of Heart.
          “Ya Encik nak buat tempahan ke?” tanya gadis manis yang bertudung hitam.
          “Tak. Saya nak jumpa Cik Alfira. Dia ada tak?” pekerja Alfira mungkin. Teka Hakim sendiri.
          “Kak Fira ada dekat dalam. Sekejap saya panggilkan.” Maria pekerja Alfira itu terus berlalu masuk ke bahagian dalam dapur tersebut.
          Siapa lelaki tadi ya? Kacak juga orangnya. Hati kecil Maria sudah mengatal sendiri. Setakat ini, lelaki kacak yang pernah dia nampak datang sini Encik Afendi lah. Itu pun kekasih Kak Fira. Tapi jarang kekasih Kak Fira nak ke mari sebab Kak Fira kata kekasih dia tu sibuk orangnya.
          Alaaa ramai juga yang kacak dan meletop singgah di kedai ini. Kekadang bukan nak beli roti atau kek. Tapi nak mengurat tuan kedai kek!
          “Kak, ada seorang lelaki datang nak jumpa akak.” Maria terus saja memaklumkan kepada Alfira.
          Alfira yang sedang menghias kek itu terhenti kerjanya. Dia memandang ke arah pekerjanya.
          “Siapa nama?” Alfira membuka sarung tangan dari tangannya. Dia membuka juga apron yang tergantung di lehernya itu dan disangkutkan di tempat penyidai yang tersedia di ruangan dapur kedainya.
           Maria garu kepala. Lupa pula dia nak tanya nama tadi. “Maaflah kak, lupa pula saya nak tanya siapa.”
          “Okey tak apalah. Lily awak tolong sambung hias kek ni ya.” sebelum pergi, Alfira memesan kepada pekerjanya yang juga sedang bekerja bersamanya tadi.
          Alfira menghampiri lelaki yang sedang membelakangkannya. Dari belakang susuk tubuh lelaki ni seperti........... Hakim. Ya Allah, aku harap bukan dia. Doa Alfira berharap lelaki itu bukan Hakim.
          “Cari saya ke?” Terus saja Alfira memanculkan soalannya dan Hakim yang mendengar terus saja menoleh.
          Alfira tak terkejut sangat sebab dari awal dia dapat agak, cuma dia berharap bukan lelaki itu. Tapi akhirnya memang lelaki ini yang muncul. Alfira terleka seketika bila melihat wajah lelaki yang sudah 7 tahun lama tak tatap itu. Kacak, ya masih kacak. Wajahnya juga masih berseri terang seperti dulu. Yang berubah adalah lelaki itu kini berkumis halus di muka. Tapi tetap juga kemas dan tak mencacatkan kekacakan makhluk Allah itu.
          “Ya, maaf ganggu awak.”
          “Kenapa awak datang cari saya ni?”
          “Tak nak bagi saya duduk dulu ke?” Soalan Alfira dibalas dengan soalan oleh Hakim.
          “Silakan duduk.” pelawa Alfira malas.
          Di kedai itu memang terdapat beberapa meja makan dan juga dua buah sofa. Alfira mengambil tempat yang mempunyai meja. Dia duduk berhadapan dengan Hakim.
          “Okey, sekarang dah duduk ni. Ada apa nak jumpa saya?”
          “Tak sabar sangat awak nak tahu. Kita bertenang dulu.” Balas Hakim selamba.
          Alfira rasa geram aje. Hakim yang ini berbeza sedikit dengan perwatakan Hakim yang dulu. Hakim 7 tahun yang lalu, seorang yang tak berapa banyak cakap dan tak banyak songeh. Tapi Hakim yang berada di depannya kini lain sangat. Asal banyak sangat cekadak ni?!
          “Okey okey, saya memang ada benda nak cakap sikit dengan awak. Maaf ganggu ya.” Terus saja Hakim bersuara setelah melihat wajah Alfira yang dah mencuka. Alfira dari dulu masih tetap sama. Tak pandai nak sorokkan perasaan.
          “Okey, apa dia?” tanya Alfira lagi tak sabar. Banyak kerja ni tau!
          Hakim menilik wajah gadis yang berhadapan dengannya ini. Di pipi gadis itu terdapat kesan putih. Mungkin tepung agaknya.
          “Ada kesan tepung dekat pipi kanan awak tu.” Hakim angkat kening double-jerk. Mulut dimuncungkan sedikit menunjuk ke arah kesan tepung di wajah Alfira.
          Alfira mengangkat sedikit keningnya. “Awak ni sengaja nak melambatkan masa saya ya?”
          Hakim mendengus malas. “Memang betul ada tepung dekat pipi awak tu. Bersihkan dulu, kalau ya pun.”
          “Kalau ada pun biarlah. Awak tu cakap jelah apa awak nak cakap. Kesan tepung ni tak menganggu mulut awak, kan?”
          “Memang tak ganggu pun. Tapi ianya menganggu pandangan mata saya.” Sarkastik sungguh balasan Hakim. Sakit dengan jawapan dari Alfira!
          Maria yang berada di kaunter itu tak lepas melihat bosnya dan lelaki tadi. Macam bertekak je mereka berdua tu.
          Alfira menarik nafas perlahan. Geram juga dengan Hakim ni. Pandai menjawab ya sejak semakin tua umur ni.
          “Tutuplah mata awak!”
          “Baik awak bersihkan sekarang. Saya rimas tengok muka awak comot macam tu. Tak selesa saya nak bercakap. Kemaskan sikit diri tu, atau......Jangan sampai saya tolong bersihkan.” Kening double-jerk muncul lagi.
          Alfira berdiri tegak. Membuntang matanya mendengar bicara Hakim tadi. Nak kata rimas tengok muka aku la tu. Jahat mulut. Jangan harap nak tolong bersihkan okey!
          “Awak ni dah kenapa? Datang sini nak cari gaduh pula.”
          Hakim nak tergelak kecil. Sebenarnya dia tak rimas pun tengok muka gadis itu. Tapi pipi Alfira yang comot tu membuatkan dia rasa mahu membersihkan pipi gadis itu sendiri. Lebih baik dia minta Alfira bersihkan dulu. Dia takut nanti dia tak tahan, dia sendiri yang lapkan sendiri.
          “Duduk Fira. Bersihkan pipi awak je pun. Bukan susah sangat.”
          Alfira cuba bawa bertenang. Dia duduk kembali. Dia menarik sehelai tisu yang terdapat di atas meja dan membersihkan pipinya.
          “Macam tulah. Barulah selesa saya nak bercakap dengan awak.” Alfira mencebik mendengar kata-kata Hakim.
          “Cakaplah apa awak nak cakap. Lepas ni jangan pula awak suruh saya bersihkan baju saya yang bertepung ni dah la ya.” Sindir Alfira geram.
          “Saya nak minta maaf dengan awak.” Terus terang Hakim menjelaskan kenapa dia mahu berjumpa gadis itu.
          Alfira terdiam dan terkaku. Mata masih bertentang dengan anak mata bekas kekasihnya.
          “Untuk apa?” sengaja Alfira ingin menduga. Jawapannya dia sudah tahu. Tapi dia nak lihat sama ada Hakim mengakui ataupun tidak.
          “Untuk segalanya. Saya minta maaf sebab tinggalkan awak dulu. Maaf sangat sebab kecewakan awak. Saya tahu salah saya kerana begitu mudah saya lepaskan awak macam tu aje. Saya tak mahu kita berdiam diri dan bermasam muka sebab kesilapan saya yang dulu. Lagipun, awak rapat dengan keluarga saya dan saya harap kita mempunyai hubungan yang baik. ”
          Alfira tersenyum dan menggelengkan kepalanya beberapa kali.
          “Kesilapan saya juga kerana saya bukanlah gadis idaman awak. Saya pada mulanya salahkan awak dengan perpisahan itu. Tapi bila saya fikir balik..... yang awak tak salah. Awak berhak memilih gadis yang lebih baik untuk diri awak. Sepatutnya saya sedar yang awak tak cintakan saya.”
          Ya, sakit sangat bila lelaki yang kita cinta dulu lebih memilih gadis lain berbanding diri kita. Tapi Alfira tabahkan hatinya dan dia cuba berfikiran positif. Mungkin dulu dia akan sering menyalahkan Hakim. Tetapi kini dia lebih matang menghadapi situasi sekarang. Cantik sangat perancangan Allah. Bagaimana kalau dia bertemu dengan Hakim sebelum ini? Mungkin dia akan terus menyalahkan Hakim dan hubungannya dengan Hakim mungkin dalam keadaan yang tak baik. Tapi hanya dengan jalan takdir Allah, dia telah bertemu dengan Hakim pada waktu yang tepat. Di mana dia telah merelakan perpisahan yang terjadi dulu.
          Hakim rasa tersindir saat ini. Dia sendiri malu dengan sikapnya yang bodoh dulu.
          “Saya rasa..... Saya yang bersalah. Saya berharap kita baik-baik saja okey?” Hakim masih dengan rasa bersalahnya.
          “Jangan risau. Saya tak akan ungkit lagi kisah dulu. Cukup apa yang dah jadi. Saya tak nak ingat lagi.” ujar Alfira sambil tersenyum.
          Loceng pintu berbunyi menandakan ada orang datang. Alfira tidak menoleh pun siapa pengunjung kedainya itu. Pelangganlah tu agaknya.
          “Hai Alfira Hidayah Binti Shahril.” ujar lelaki yang berada di belakang Alfira.
          Alfira menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya apabila dia melihat Afendi yang memanggil nama penuhnya. Automaik Alfira bangun.
          “Awak tak beritahu pun nak datang sini.” Alfira mendekati Afendi. Lelaki yang kemas masih berkot kelabu itu. Gaya macam baru balik kerja je. Teka Alfira. Tapi kenapa Afendi boleh ada kat Melaka ni?
          Afendi terus saja mengeluarkan sejambak bunga ros merah yang disorokkan di sebalik belakang tubuhnya dan terus dihulurkan kepada Alfira. Alfira tergamam seketika. Dia tidak menyambut huluran itu. Malah, matanya terus saja menoleh ke arah Hakim yang turut berdiri di belakangnya.
          Wajah Hakim ketika ini biasa saja. Apa yang aku harapkan ni sebenarnya? Buntu Alfira fikir. Kenapa dia memikirkan Hakim dan kenapa dia memandang wajah lelaki itu? Adakah dia mahu melihat reaksi Hakim sekarang ini? Dia mahu Hakim rasa cemburu ke? Tapi Hakim tak cemburu pun saat ini. Tengok sajalah wajah lelaki itu yang hanya beriak selamba dan biasa. Lupakan Fira, lupakan.
          Alfira pantas menoleh semula ke arah Afendi.
          “Awak tak suka ke bunga ni?”
          “Sa saya suka. Terima kasih.” Alfira mengambil bunga itu dari Afendi. Afendi tersenyum senang.
          “Maaf kalau saya datang tak beritahu. Nasib baik awak ada kat kedai. Saya ada kerja dekat Melaka, so sebelum balik, tu yang nak singgah jumpa awak.”
          “Oh ya tak apa. Tapi lain kali beritahulah dulu k. Takut saya tak ada pula.”
          “Awak tengah berbual dengan siapa tu? Rancak saya tengok tadi.” Afendi mula bertanya. Dia melihat lelaki yang tidak berapa jauh dari Alfira itu.
          Hakim melangkah menghampiri Alfira dan lelaki itu. Mungkin inilah kekasih hati Alfira. Agak Hakim sendiri.
          “Okeylah Fira, saya balik dulu. Nanti dah siap tempahan tu awak call la mak ya, beritahu dia.” Hakim bersuara apabila kini dia sudah berhadapan dengan pasangan yang secocok di hadapannya itu.
          Alfira menggaru keningnya yang tidak gatal. Tempahan apa pula ni?
          “Okey nanti saya call mak. Oh ya, ni saya kenalkan Hakim, dia anak kepada Puan Sadiah mak angkat saya.” Alfira meneruskan saja. Dia memperkenalkan Hakim kepada Afendi.
          Hakim terlebih dahulu menghulurkan tangannya dan dua jejaka itu berjabat mesra.
          “Oh ya, saya tahu awak ada cerita tentang mak angkat awak. Saya Afendi, kekasih Alfira.” Afendi mula perkenalkan diri.
          Alfira sudah tersedak kecil. Dia berdeham sedikit membetulkan anak tekaknya. Hakim pula masih beriak biasa saja. Hanya mengangguk dan tersenyum. Padahal dalam hati itu dah sedikit sentap juga. Tapi dia perlu lebih profesional.
          “Okey saya balik dululah. Tadi mak minta tempah kek dengan Fira, tu yang singgah sini jap. Apa pun selamat berkenalan. Saya balik dulu Assalamualaikum.” Hakim meminta diri. Maaf ya mak kerana namamu menjadi mangsa. Sesudah berbicara dan meminta diri, Hakim terus saja keluar dari kedai tersebut.
          Hakim menarik nafas yang amat dalam. Alfira sudah bertemu dengan bahagianya. Tapi kenapa hati macam tak rela?

          “Ohhh come on Hakim, Fira dah milik orang dan jangan nak berharap yang Alfira akan cintakan kau semula. Cinta bertepuk sebelah tangan tak akan menjadi.” Hakim memberi kata-kata semangat kepada dirinya sendiri. Sesudah itu dia menghidupkan enjin keretanya dan terus saja meluncur laju membelah jalan raya tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan