BAB 4
KALAU nak
keluar lepak memang selalunya dia akan keluar dengan Luqman. Luqman aje yang
masih bujang. Kawannya semua kebanyakannya dah berkahwin dan mempunyai keluarga
sendiri. Aiman pun tak lama lagi akan berkahwin. Hanya dia dan Luqman saja yang
masih lagi sendiri menanti jodoh. Mengajar bidang muzik tidaklah terlalu sibuk,
jadi masa untuk melepak itu tak pernah dia pertikaikan. Lelaki memang perlu ada
masa untuk melepak bersama kawan-kawan.
Hakim yang menunggu giliran untuk
membeli tiket wayang itu tiba-tiba saja terperasankan pasangan kekasih yang
amat dikenalinya. Alfira dan Afendi yang sedang beratur untuk membeli popcorn. Tiba-tiba saja Luqman mendekati
pasangan secocok itu. Apa agaknya Luqman bualkan ya? Tapi rasanya tak perlu
risau sebab setakat ini kawan-kawannya tak ada siapa pun yang tahu Alfira
adalah anak angkat kepada maknya.
Hakim memilih filem aksi Ant-man. Luqman
yang membawa bertih jagung dan air itu menghampirinya.
“Kau ingat tak Kim gadis bertudung
litup comel je kawan Ayu isteri Nazim, yang kita jumpa dia dekat majlis Nazim?”
“Yang mana pula ni?” Hakim buat-buat
tak tahu.
“Alaahh yang kau asyik tenung je
sampai biji mata terkeluar tu?” Luqman tak puas hati.
“Kenapa dengan dia?” tanya Hakim
berlagak biasa.
“Dia dekat sini nak tengok wayang
dengan buah hati. Untung betul lelaki yang dapat dia kan? Kekasih dia tu anak
usahawan terkenal Dato Azman weh. Dahlah awek cantik, baik pula tu. Aku ni pun
suka tengok muka dia. Sejuk betul mata memandang. Oh ya baru aku ingat nama
dia, nama dia Alfira.”
“Dia datang sini tengok filem apa?”
Hakim cuba nak ambil tahu. Tidak tahu kenapa dia nak turut sama menonton filem
yang sama dengan Alfira.
“Ohh aku ada tanya juga tadi.
Biasalah pasangan kekasih tengok filem cintalah. Aku tak tahu nama filemnya.
Tapi Fazura berlakon tu kut. Ehh kau kenapa tanya ni?” Tanya Luqman pelik.
“Kita tengoklah filem tu. Ant-man
tempat dah penuhlah. Ada pun dekat seat depan.
Tak mahulah. Jom kita tengok filem cinta pun cintalah.” Hakim terus ke arah
kaunter lagi. Hari ini memang tak ramai orang dan dia terus saja membeli tiket
untuk filem yang bertajuk Langit Cinta.
“Aku tak layan cinta ni semua. Kau
dah kenapa ni Kim? Kau nak mengurat Alfira tu ke? Jangan weh, dia tu dah ada
kekasih.”
“Kau ni diam ajelah. Apa salahnya
sesekali tengok cerita cinta pula?”
“Peliklah kau ni bro. Apa-apa
ajelah.” Balas Luqman malas.
*******************
TUDUNG merah,
tudung merah. Bisik hati kecil Hakim. Melilau matanya mencari susuk tubuh gadis
yang memakai tudung berwarna merah.
“Bukan ke kau pilih seat kat sana ke weh? Jomlah duduk sana.
Sekejap lagi cerita dah nak mula.” Semakin pelik Luqman melihat Hakim ini.
Hakim masih berdiri tegak sepertinya sedang mencari sesuatu.
“Jangan cakap kau cari Alfira eh
bro?” Tekaan Luqman mengena. Hakim diam saja.
“Mana ada. Cepatlah kita duduk.” Hakim
terus saja ke tempat yang telah dipilih tadi. Suasana yang gelap itu
menyukarkan untuk mencari Alfira. Alahai tahu tadi tengok jelah cerita Ant-man.
Ingatkan dia dapat cari Alfira di sini, tak terfikir pula yang dalam wayang ni
gelap.
“Awak jangan tidur pula. Tadi nak
sangat teman saya tengok wayang, kan?” Alfira mula bersuara.
Hakim tersentak. Itu sepertinya suara
Alfira. Dia amat mengenali suara gadis itu. Hakim menoleh ke sisi kanannya. Ya,
Alfira berada di sebelahnya saja.
Hakim terus mencapai topi milik
Luqman. Dia terus saja pakai topi itu. Dia harap Alfira tidak perasan akan
dirinya saat ini.
“Kau ni dah kenapa?” Marah Luqman
berbisik. Kalau menengking nanti marah pula orang lain yang nak tengok wayang
cinta ni.
“Pinjamlah topi kau ni. Tak boleh
ke?”
“Kau ni semakin pelik aku tengok.” Rungut
Luqman. Hakim buat tak tahu saja.
Sesekali Hakim akan menjeling ke arah
Alfira. Gadis itu tidak lepas menonton cerita yang ditayangkan. Hakim melihat
pula Luqman yang sudah tertidur. Hakim rasa kalau sebelah dia ini bukan Alfira,
sudah tentu dia sekali pun akan tertidur. Bukan tidur je, berdengkur sambil rap
sekali agaknya!
1 jam sudah berlalu. Hakim mendengar
suara Alfira sepertinya sedang membebel.
“Awak ni tidur pula. Baik tak payah
teman!”
Afendi terpesat-pesat bangun dari
tidurnya. “Maaflah. Awak tengok cerita macam ni buat saya mengantuklah.” Afendi
meneruskan semula tidurnya. Biar jelah Alfira layan cerita tu sorang-sorang.
“Selama ni kalau tengok wayang pun
cerita awak je, kan? Kali ni biarlah cerita saya pula!” Alfira mendengus geram
bila melihat Afendi itu senyap. Tidurlah tu.
Hakim mendengar saja bebelan Alfira
itu. Kenapa Fira aku boleh buat kerja gila macam ni? Keluh hati Hakim.
Tiba-tiba saja Hakim mendengar suara
esakan halus. Alfira sedang menangis? Hakim lihat saja Alfira yang sedang
menangis. Mata gadis itu masih tak beralih dari melihat skrin besar yang
terpampang di depan.
“Sedihnya cerita ni..... Hebat betul
dugaan yang dia terima. Cinta terlarang.” Hakim hanya mendengar saja apa yang
dikatakan Alfira. Alfira menangis sebab cerita tu rupanya.
Hakim menaip sesuatu di telefonnya.
Sesudah itu dia menghantar pesanan itu.
Alfira menyeluk tangannya ke dalam beg
mencari telefonnya yang berbunyi. Dia membaca pesanan whatsapp yang diterima.
From: 013640++++
Jgn nangis! Lap
air mata awk. Sy tak suka tgk awk menangis. Tu cerita je. Jgn jadi budak
cenggeng sgt.
Alfira melihat Afendi yang sedang
lena tidur. Dia melihat semula pesanan tu. Siapa ni? Nombor yang tak dikenali.
Dia membalas pesanan tu.
To: 013640++++
Siapa ni? Macam mana
awk tau sy menangis?
Hakim membaca balasan dari Alfira.
Dia hanya tersenyum saja. Nasib baiklah bunyi whatsapp dia ni hanya bep saja.
Jadinya, tak jelaslah kedengaran. Dia teringat pula dari mana dia mendapat
nombor telefon Alfira. Mak dia yang kononnya memintanya untuk menghubungi
Alfira. Katanya nak jemput datang kenduri khamis malam nanti. Dari situlah dia
dapat nombor Alfira.
To: Alfira
Tak perlu awk tau siapa
sy. Yg penting jgn menangis. Lain kali nak menangis datang jumpa sy. J <3
Hakim membalas whatsapp tersebut. Dia hanya menunggu saja reaksi dari gadis
sebelahnya ini. Dia melihat Alfira yang kini sepertinya tidak lagi menumpukan
perhatian pada cerita cinta itu. Alfira seperti orang yang gelisah. Mungkin
tertanya-tanya siapa yang memberi pesanan itu.
Alfira menutup telefonnya. Siapa ni?
Dari tadi itu yang sering ditanya oleh dia sendiri. Macam mana orang tu tahu
aku menangis? Alfira cuba mencari seseorang yang mungkin mencurigakan. Tapi tak
kelihatan langsung. Dia melihat lelaki yang berada di sebelah kirinya itu.
Lelaki itu yang memakai topi dan sepertinya sedang tidur menghadap ke kiri.
Jadinya, tak nampak wajahlah.
Ishh, kerana pesanan misteri itu
telah membuatkan dia tidak dapat menonton cerita itu dengan tenang. Langit
cinta habis begitu saja dengan persoalan yang terlalu banyak difikiran Alfira
saat ini. Siapa gerangan yang whatsapp dia
ni? Siapa? Siapa? Siapa?!
*****************
WAJAH gadis
kesayangan di hadapannya ini sudah mencuka. Afendi ketawa geli hati melihat
muncung Alfira sudah panjang sedepa. Marah la tu!
“Sorry
la Fira, saya mengantuk sangat tadi. Lagi pula bila awak pilih nak tengok
cerita macam tu, memang terus lena la saya kat situ juga. Jangan marah sayang.”
Alfira menjeling tajam ke arah
kekasihnya itu. Sayang sayang konon. Ingat aku cair? Mula-mula dia marahkan
Afendi sebab tidur, dan bertambah geram pula bila dapat pesanan dari orang yang
tak kenal. Boleh pula tahu yang aku menangis pula tu! Lagi bertambah berapi
bila dia tak dapat tengok ending
cerita lakonan Fazura tu dengan setenang-tenangnya. Ini semua sebab pesanan
misteri tadi! Gila sakai betul!
“Okeylah, kita pergi makan. Awak nak
makan kat mana?” Afendi cuba menukar topik wayang tadi. Malas nak panjangkan
cerita, dia pun bukan pandai pujuk sangat. Perempuan ni sungguhlah complicated!
Alfira menggeleng tanda tak mahu.
Lagipun, dia masih memikirkan pesanan misteri tadi. Otaknya tak berhenti dari
memikirkan siapa orang itu. Perlu ke dia beritahu dekat Afendi? Emmmmm, rasanya
tak kut.
“Tapi saya laparlah.” Rengek Afendi.
Dia berhenti dari melangkahkan kaki di shopping complex tersebut. Dia
berhadapan dengan Alfira.
“Suka hati awak la. Awak yang drive, and I just follow.” Balas Alfira
mendatar.
“Janganlah marah-marah lagi. Macam
tak biasa pula. Bukan ke saya selalu juga tidur kalau tengok cerita cinta, kan?
Apa lagi awak nak kisah?”
Alfira memicitkan pelipisnya.
Memanglah dah biasa. Tapi tak akan selamanya nak patahkan leher bila tengok
wayang cerita cinta? Sikit-sikit je bila pandang sebelah, tengkuk Afendi dah
patah! Sebab tidur la tu!
Kalau dia temankan Afendi tengok
wayang filem aksi, seram ke, walaupun takut, tak pernah dia tidur tau. Dia
tetap juga melayan cerita tu. Walaupun tak best!
“Dah
la. Cepat pergi makan, cepat balik.” Bosan. Ya, bosan sebenarnya. Bila tengok
orang berdating macam happy je. Tapi
tak bagi Alfira, dia rasa macam kusut dan malas nak berlama. Dia lebih suka
habiskan masa di kedai, di rumah atau dia cuba buat resepi kek baru.
“Okey! Baik bos!” Tabik Afendi
bergurau. Alfira tersenyum juga melihat sikap lelaki itu. Dia menggelengkan
kepalanya. Afendi la lelaki yang sabar melayan sikapnya. Tapi aku cerewet ke?
Nak sabar-sabar pula. Rasanya gelaran penyabar tu sesuai diberi untuk dia,
sebab dia bersabar melayan kerenah Afendi yang banyak ragam!
Tiba-tiba langkah kaki Afendi
terhenti. Dia menyeluk kocek seluarnya untuk menjawab panggilan telefon.
“Awak tunggu jap. Saya nak jawab call ni.”
Alfira angguk tanda faham. Jauh juga
Afendi pergi untuk menjawab panggilan telefon. Hal kerja la tu. Dia melihat
sekeliling kawasan itu. Dia kini yang berhadapan dengan butik Roxy. Alfira yang
berura-ura nak masuk ke dalam butik dan
“Awak beralih!!!”
Alfira terkejut dengar jeritan tu.
Dia menoleh ke kiri dan terkejut bila dua orang lelaki yang berlari ke arahnya.
Dia kaku, dia keras, dia tak tahu nak buat apa. Kakinya seperti digam. Dia
hanya melihat saja dua orang lelaki itu yang berlari dan semakin hampir
dengannya.
Tiba-tiba saja pergelangan tangannya
dipaut kuat. Dia terdorong ke bidang dada seseorang.
Nafas Alfira yang kini laju turun
naiknya. Dia membuka mata dan...........
Hakim cepat-cepat melepaskan pegangan
tangannya dari pergelangan tangan Alfira. Dia dapat rasa deruan nafas gadis itu
yang semakin laju. Gila! Nasib baik sempat dia menarik gadis itu. Kalau tidak,
tentu Alfira dah menyembah bumi tadi!
Tak nampak ke pak guard yang sedang
kejar pencuri tadi? Ishhh, bahaya betul la Afira ni. Seorang pencuri yang cuba
melarikan diri dari ditangkap oleh pak guard di shopping complex tadi
betul-betul berlari menghala ke arah Alfira. Nasib baik pantas Hakim menarik
gadis itu dengan secepatnya. Kekasih bodoh dia tu pun satu! Sibuk dengan telefon
dari tadi. Tak boleh ke cakap dekat-dekat? Nak cakap jauh-jauh juga? Macam buat
kerja haram je! Mengerutu hati Hakim saat ini.
Bukan dia sengaja nak ekori Alfira.
Tapi tadi dia dengan Luqman memang singgah di kedai Polo melihat baju-baju di
sana. Tak sengaja matanya ternampak susuk tubuh yang amat dia kenal. Iaitu
Alfira.
Hakim cepat-cepat menarik topinya ke
depan agar wajahnya terlindung dari dilihat oleh gadis itu. Dia memusingkan
badannya ke kanan. “Lain kali hati-hati. Jangan bingai sangat macam teman
lelaki awak tu!” setelah menyembur kata-kata itu, dia terus melangkah pergi.
Tak mahu kantoi woii!
“Awak!
Hey awak!!” panggil Alfira. Semua
mata-mata di sekelilingnya melihat dirinya dari tadi. Biarlah nak tengok sampai
buta pun. Macam tak pernah tengok orang je!
Alfira terdiam sejenak. Ada ke kata
aku dengan Afendi bingai? Ishhh, siapa lelaki tu?! Dia tak dapat melihat wajah
lelaki yang telah menyelamatkannya. Bila dia buka mata, dia hanya melihat
bidang dada lelaki itu yang berbaju biru. Pergi macam tu je ke? Tak nak dengar
dia ucap terima kasih? Tak pun dia boleh je beri duit ke, atau belanja makan.
Alfira masih teringin untuk melihat lelaki bertopi tadi. Ruginya tak dapat
tengok siapa penyelamatnya.
Tiba-tiba dia teringatkan Afendi.
Mana lelaki tu? Tadi rasanya Afendi ada di hujung sudut sana. Laaaaaa, kat sana
rupanya. Asal jauh sangat? Patut pun lelaki tu cakap Afendi bingai! Satu sikap
Afendi, Afendi ni leka! Macam aku juga. Kutuk Alfira sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan