Dia Mantan Kekasihku (Bab 2)

BAB 2

“RUPANYA awaklah pemilik kedai ni. Saya selalu beli roti dekat sini, tapi tak pernah pula nampak bidadari macam awak sebelum ni.”
         Afina buat gaya nak muntah. Kalau Aiman cakap ni memang nak manis je lebih. Bidadari konon! Tunang dia tu apa pula? Malaikat ke? Perangai tak berubah dari dulu.
         “Kau jangan layan Aiman ni Fira. Dah bertunang pun gatal miang ni!” nasihat Afina. Alfira hanya tersenyum saja. Nak gelak juga dengan ayat lelaki itu.
         “Dah kenapa nak jumpa aku ni Man oi?” Afina mula bertanya. Tadi Aiman menghubunginya dan mengajaknya untuk berjumpa. Dia pun malas nak keluar lagi dan sekarang dia berada di kedai Alfira untuk melepak bila cuti macam ni. Aiman pula mahu berjumpa dan dia pun ajaklah Aiman ke sini sekali.
         “Bagi kawan kau ni jawab soalan aku dulu. Baru aku jawab soalan kau.” Aiman mula buat perangai gila dia.
         “Kau jawab soalan muka tempayan ni dulu Fira.” Jeling Afina ke arah Aiman. Suaranya mendatar saja. Malas!
         “Hahaha, please okay, jangan gaduh. Ya ini kedai saya. Dah 3 tahun kedai ni saya buka. Kalau selama awak datang tak pernah jumpa bidadari tu that mean bidadari tu sibuk. Tak pun bidadari tu dekat dalam sibuk buat kerja.”
         Alfira menjawab pertanyaan lelaki yang bernama Aiman. Lelaki itu juga rakan kepada Hakim semasa di majlis perkahwinan Ayu 2 minggu yang lepas. Alfira cuba membuang bayangan Hakim di dalam benak otaknya.
         “Awak cantik macam bidadari Fira. Saya sendiri terpegun tau. Tapi taklah segila rakan saya lagi seorang tu. Kalau awak perasanlah ada lelaki berbaju kemeja biru gelap di majlis perkahwinan Nazim dan Ayu. Nama lelaki tu Hakim dan dia kawan saya. Renungan dia dekat awak tak lepas-lepas. Hinggakan dalam kereta pun dia banyak termenung.”
         Alfira tersentak apabila mendengar cerita dari Aiman. Afina hanya mendengar saja tak mahu menganggu. Kenapalah Aiman ni pergi sebut dan cerita pasal Hakim ni. Marah hati kecil Alfira.
         “Ohh ya maaf saya tak perasan.” Tipu Alfira. Padahal dia perasan sangat renungan Hakim masa itu memang tak lepas-lepas.
         “Jarang ada perempuan yang buat mata Hakim tak lepas memandang pada seorang perempuan. Dan hari itu ternyata awak dah buat kawan saya tu tak betul.” cerita Aiman lagi.
         Alfira hanya membalas senyum dan mengangguk saja. Dia akhirnya meminta diri dengan menggunakan alasan sibuk. Hakim kenapa awak muncul? Keluh Alfira.
***************

“MAK ada tempah cupcakes dekat Bakery Of Heart tu. Nanti Hakim ambil ya. Pemilik kedai tu anak angkat mak tau. Cantik orangnya.”
         “Sorry mak. Hakim ada hal sikit ni nak uruskan. Gitar Hakim tertinggal dekat bilik kolej. Tak habis-habis dengan anak angkat mak tu dari dulu lagi.” Hakim menggelengkan kepalanya.
         Dari dulu lagi mak asyik bercerita saja tentang anak angkat perempuannya yang cantik. Pernah juga dulu mak nak kenalkan dia dengan anak angkat mak dia tu. Tapi kalau dah tak ada jodoh nak menatap muka nak buat macam mana? Bila dia balik Melaka, katanya anak angkat mak tu sibuk pula. Jadinya, memang tak pernah lagi dia jumpa anak angkat mak yang dah bertahun-tahun jadi buah mulut keluarga ini.
         Sejak dia mengajar di Indonesia pun dia jarang pulang ke Malaysia. Raya pun balik kadang-kadang je. Bukan tak rindu keluarga, rindu sangat. Tapi tak ada mood nak balik raya.
       “Dah 3 tahun dia jadi anak angkat mak. Tapi kamu tak pernah berjumpa pun. Anak angkat mak tu pun dengar cerita dah ada kekasih hati. Yang kamu ni bukan kekasih je tak ada, hati pun tak ada agaknya! Umur tu dah tua bangka Kim. Ingat sikit, kahwin pun dapat pahala. Kamu pun memang dah mampu sangat untuk kahwin.”
         Puan Sadiah berhenti dari memotong lobak merah. Dia meletakkan pisau di atas meja dan memulakan ceramah untuk anak bujangnya itu.
        “Itu jelah kerja mak. Nak suruh Hakim kahwin je. Hakim minta balik mengajar dekat Indon kalau mak bebel lagi.” Hakim berpeluk tubuh. Kononnya marah sangatlah tu.
         “Pergilah Indon sana! Jangan balik sini lagi kalau memang kamu tak sayang mak.”
         Alahai Puan Sadiah dah keluarkan ayat sentap pula ni. Ini lemah Hakim dengar.
         “Mak ni pun mana ada anak tak sayang mak sendiri. Kalau ada anak tak sayang mak tu bukan Hakim lah ya.” Pujuk Hakim. Dia memaut bahu maknya itu.
         “Pandai kamu nak pujuk.” bebel Puan Sadiah tak puas hati.
         “Alaaa mak comel ni. Hakim gurau jelah. Okey-okey mak nak apa? Nak suruh Hakim ambil kek dekat kedai anak angkat mak tu ya? Okey Hakim ambil, tapi lambat sikit.”
         “Tak payah. Mak boleh suruh dia hantar sendiri. Mak nak kamu kahwin je.”
         “Alahai Puan Sadiah oii. Bila nak habis cerita pasal kahwin ni!!!” Pening Hakim melayan. Dia pun keluar dari ruang dapur itu. Tapi bila mak cakap pasal kahwin, kenapa wajah Alfira yang terlintas di kepalanya?
********************

TAK lekang senyuman di bibir Puan Sadiah apabila anak angkat kesayangannya itu datang ke rumah. Lagipun, sudah 2 minggu juga Alfira tidak bertandang ke mari. Katanya sibuk dengan kerja.
         “Mak sihat?” tanya Alfira sambil memeluk mak angkatnya itu.
         Dia sayang sangat dengan mak angkatnya ini. Dia pun sudah tiada mama lagi dan hanya ayah saja yang ada. Adik-beradiknya pun tiga orang dan dia anak yang sulung. Arwah mamanya meninggal pun semasa umurnya 20 tahun dan kini umurnya sudah mahu mencecah ke angka 27 tahun. 7 tahun sudah pemergian mama tercinta.
         “Sihat sayang. Kamu pula sihat tak?”
         “Sihat Alhamdulillah. Ni cupcakes yang mak tempah. Banyak mak tempah ni, cucu-cucu mak nak balik ke?” Alfira meletakkan beg kertas yang berisi cupcakes itu di atas meja kopi ruang tamu.
         “Aah, Kak Zira kamu nak balik ke sini bawa anak-anak dia sekali. Tu yang mak tempah kek dengan kamu. Kamukan tahu budak-budak tu suka sangat kek cawan macam ni.” Puan Sadiah tidak lepas memandang wajah Alfira itu.
         “Ya tahu. Rindu pula Fira dekat budak-budak tu. Lama dah tak jumpa.” Ujar Alfira pula.
         “Oh ya mak, mana abah? Tak nampak dari tadi.” Alfira mula bertanya. Tak nampak pula Encik Kadir suami kepada mak angkatnya itu. Abah angkatnya itu juga baik dengannya.
         “Apa lagi kerjanya tu, kalau tak ke masjid, dia pergi tengok lembu-lembu dia. Kamu nak minum apa? Biar mak pergi buat jap.”
         “Tak payahlah mak. Fira tak haus. Ni mak tengah masak ya? Sampai senduk bawa sekali ke depan.” Puan Sadiah tercengang. Tak perasan betul yang dia bawa sekali senduk ke depan. Teruja sangat anak angkatnya datang ke sini.
         “Aah Fira oii. Apalah mak ni sampai senduk pun tak perasan dekat tangan. Teruja sangat mak tau kamu datang sini. Oh ya anak bujang mak ada balik. Dah dua minggu dia balik sini dan akan terus di sini. Dia sekarang dah mengajar dekat Melaka.”
         Alfira mengangguk saja. Dia tahu juga yang mak angkatnya ada seorang anak bujang lelaki. Abang Faizal tu bukan bujang ok, dah kahwin dengan Kak Zira pun. Tapi setakat ni dia belum pernah bersua muka dengan anak bujang Puan Sadiah ni.
         “Baguslah kalau macam tu. Dekat dengan keluarga. Mak masak apa ni? Biar Fira tolong sekali.” Alfira menawarkan pertolongannya.
         “Boleh sangat nak tolong. Mudah kerja mak.” Tergelak halus mereka berdua saat ini.
         Hakim yang baru pulang itu segera ke dapur. Siapa yang datang ni? Dia nampak ada sebuah kereta Myvi berwarna kuning terparking di depan rumah. Dia pasti mak berada di dapur. Yalah kalau dah bau belacan sampai ke luar rumah tu maknanya dekat dapur, tak akan dekat bilik.
         Hakim melihat dua susuk tubuh yang berada di dapur itu. Maknya yang sedang mengoreng sesuatu dan membelakangkan dirinya. Lagi satu susuk tubuh pula, sedang duduk membelakangkan dirinya juga. Susuk tubuh gadis yang kecil saja itu menarik perhatian Hakim.
         Macam Kak Zira je ni. Balik seorang je ke?
         “Hai kak, balik seorang je ke? Dengarnya nak bawa anak-anak sekali.” Hakim terus saja menepuk lembut bahu wanita yang disangka kakak iparnya itu.
         Alfira yang terkejut pun lantas menoleh. Lagi terkejut dia apabila terpandang wajah lelaki yang selama ini dia nak elak dari bertembung.
         Hakim?
         “Fira?” terkeluar nama Alfira dari mulut Hakim saat ini. Dia sendiri terkejut.
         Alfira terus saja bangun dan berdiri betul-betul menghadap lelaki itu. Puan Sadiah hanya melihat saja anak bujang dan anak angkatnya ini. Kenal ke?
         “Maaf, saya salah orang. Ingat tadi kak ipar saya.” Ujar Hakim rasa bersalah.
         “Tak apa.” Alfira sendiri tidak selesa. Apa nak buat ni? Boleh tak kalau dia nak balik terus?
         “Apa awak buat dekat sini? Awak kenal dengan mak saya?” Hakim yang berasa ingin tahu itu cepat saja bertanya.
         “Dialah anak angkat mak.” Puan Sadiah yang dari tadi memerhati itu bersuara.
         Macam nak kena hempap dengan batu air terjun Hakim rasa saat ini. Jadinya, Alfira adalah anak angkat mak?
         “Kamu berdua ni dah pernah kenal ke?” Puan Sadiah bertanya pula.
         Alfira rasa kekok nak menjawab. Lebih baik diam dan biar saja Hakim yang jawab. Agaknya Hakim inilah anak bujang mak. Bisik hati kecil Alfira.
         Hakim melihat saja Alfira yang diam dari tadi. Kemudian dia melihat pula maknya yang sedang menunggu jawapan.
         “Kami kenal masa belajar dulu.”
         Ya, dia dan Hakim kenal ketika belajar. Alfira pun tak pernah jumpa dengan ibu bapa Hakim, sebab itu dia tak tahu yang Puan Sadiah mak kepada Hakim.
         “Dah kenal lama, tapi kenapa tak jatuh cinta ke? Senang mak kalau kamu berdua ni berkahwin.” dengan selamba saja Puan Sadiah berkata begitu.
         Hakim dah rasa tercekik dan Alfira rasa nak pitam. Kenapa tak jatuh cinta?  Dan berkahwin? Ya Allah, aku rasa tak bernafas duduk di sini lama-lama. Ya, itu yang dirasakan Alfira saat ini.
*******************

HAKIM yang sedang menonton tv di ruang tamu itu tak tentu arah jadinya. Sekejap-sekejap matanya cuba mengerling ke arah dapur. Dari jauh dia nampak Alfira yang sedang mencuci pinggan.
         “Kamu ni dah kenapa Kim? Dari tadi toleh-toleh ke dapur je akak tengok. Kau berkenan dengan si Alfira tu ke?” Kak Zira cuba serkap jarang dengan adik iparnya itu.
         Hakim berdeham sedikit sebelum menjawab. Betulkan anak tekak dulu dan otak perlu berfungsi sebaik mungkin. Takut tersasul pula jawab soalan tu nanti.
         “Mana ada kak. Hakim tengok si Montel tu mana pergi entah. Biasanya Montel suka lepak dapur, tu yang tengok-tengok mana tau kat dapur.”
         “Kamu nak tipu pun agak-agaklah Hakim oii. Montel ni ada sebelah akak dari tadi tak akan kamu tak nampak? Kamu suka dekat Alfira tu cakap jelah tak payah nak berdalih lagi. Sejak dekat meja makan akak tengok kamu asyik tengok dia je. Naik malu si Fira tu nak makan tadi. Pandang anak dara orang tak berkelip.”
         Kak Zira ketawa apabila sudah dapat tangkap apa yang adik iparnya itu sedang rasa. Nak tipu konon. Kasihan Montel jadi bahan tipu. Kak Zira mengusap lembut tubuh kucing yang diberi nama Montel.
         Hakim hanya menayang sengih saja. “Alaaa tengok je sebab sebelum ni Hakim kenal Fira juga masa belajar. Lain dah dia sekarang tu yang asyik tengok.” Hakim cuba menutup rasa bengangnya.
         “Kenapa? Cantikkan Fira tu. Tapi kamu lambat sangatlah sebab dia tu dah ada kekasih. Orang KL kekasih dia. Dengarnya anak orang berada juga lelaki tu.”
         Tersentak Hakim seketika. Kekasih? Tiba-tiba hatinya dipagut rasa sakit dan pedih.
         “Ohh ya ke? Baguslah kalau macam tu.” Ringkas saja balasan dari Hakim. Kak Zira rasa pelik je bila dengar ayat adik iparnya itu.
         “Kamu dah nak balik Fira?” Semua sekali menoleh ke arah suara itu. Suara Puan Sadiah.
         “Aah mak. Kasihan pula tengok budak yang jaga kedai tu. Dah pukul 4 ni Fira balik dululah. Terima kasih mak jemput makan tengah hari dekat sini.” Alfira bersalaman dengan mak angkatnya itu.
         Memang dari tadi dia nak sangat balik. Tapi bila fikirkan hati dan perasaan mak, terus saja dia batalkan niat dia.
         “Dah nak balik ke Fira? Sedap tau cupcakes Fira buat tu. Akak dah makan 3 biji dah.” Kak Zira mendekati mak dan Alfira. Alfira turut bersalaman dengan Kak Zira.
         “Biasa je kak.” Mereka bertiga melangkah bersama ke arah pintu rumah.
         Hakim buat tidak tahu saja. Matanya dilekatkan di skrin tv. Padahal fikirannya sibuk nak mendengar perbualan 3 orang wanita itu.
         “Okey hati-hati jalan tu ya. Senang nanti datanglah jenguk-jenguk mak dengan Hakim dekat rumah!” laung Puan Sadiah setelah Alfira selamat masuk ke dalam kereta.
         Amboi mak aku ni. Orangnya dekat luar tapi suara ni sampai ke dalam. Sengaja jelah tu suruh datang jenguk konon. Nama aku pun dikait sekali. Bebel Hakim sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan