BAB 9
ALFIRA ketawa
mengekek-ngekek melihat gelagat suami Kak Rita itu. Kasihan sungguh Abang Muiz
suami kepada Kak Rita yang sepertinya tidak tentu arah apabila anak kecilnya
itu menangis.
“Itulah kamu Muiz, mak dah cakap
jangan diletakkan kat bawah. Kamu kena pegang je Khalif tu. Kalau orang pegang,
dia memang senyap tak akan menangis.” Suara Puan Sadiah bergema di dalam dapur.
“Tak akan nak pegang je Khalif ni mak.
Rita pun mandi lama sangat ni.” Suara Abang Muiz kedengaran pula. Dia memang
tak berapa pandai sangat kendalikan anak kecil ni. Kalau budak-budak tu
bolehlah. Tapi ni bayi yang masih kecil baru saja 3 bulan.
Puan Sadiah membasuh tangannya di
singki dan lantas saja menghampiri menantu lelakinya itu. Dia mengambil Khalif
dari pegangan Muiz.
“Syutt
syutt syutt diam ya sayang. Mama tengah mandi tu.” Pujuk Puan Sadiah kepada
cucu kecilnya itu.
“Terima kasihlah mak sebab tolong
jaga dan tengokkan Rita tu. Muiz memang sibuk sikit sekarang ni.” Muiz
berterima kasih kepada mak mertuanya itu kerana menjaga anak dan isterinya yang
masih dalam pantang.
“Tak apalah mak faham kerja kamu ni.
Lepas ni pun Rita dah mula kerja, lepas habis je pantang nanti. Anak kamu ni
kamu hantar je dekat sini, mak boleh jagakan. Orang sekarang ni nak jaga budak
belum tentu bagus. Macam-macam sekarang ni kes dera budak-budak. Lagipun, mak
dekat sini pun dengan abah dan Hakim je. Abah kamu tu kerjanya asyik jaga lembu
je, Hakim pula memang jarang nak nampak batang hidung. Malam baru ada.”
“Tapi kasihan pula kat mak. Dah tolong
jaga Puteri lagi.”
“Nak kasihan apa pula Muiz oii. Bukan
susah sangat. Ada budak-budak ni lagi bagus. Tak adalah mak sunyi sangat dekat
rumah ni.”
Alfira mendengar saja perbualan
antara mak angkatnya dengan Abang Muiz. Mak memang seorang yang baik.
“Tak apa ke Fira kamu tolong mak masak ni?”
Alfira yang sedang mencuci sayur itu lantas menoleh ke arah Puan Sadiah. Dia
tersenyum sebelum membalas pertanyaan mak angkatnya.
“Tak apa. Sikit je ni, sekejap lagi
siaplah. Lagipun, dah lama Fira tak ke mari tolong mak masak. Maaf tau mak,
sibuk sikit sekarang ni.” Puan Sadiah mengangguk faham. Dia menarik kerusi dan
terus melabuhkan punggung di atas kerusi kayu itu. Dia juga turut mendodoi
cucunya yang sedang lena di dalam pangkuannya.
“Mak faham kamu sibuk. Esok boleh tak
kamu pergi majlis kecemerlangan Puteri dekat tadika dia tu? Rita tu masih lagi
dalam pantang dan Muiz pula biasalah kerja. Kasihan pula mak tengok Puteri.”
Puan Sadiah berharap Alfira setuju untuk menolongnya. Ada rancangan yang dia
aturkan.
“Boleh je mak. Pukul berapa esok?”
Alfira sudah berdiri berhadapan dengan mak angkatnya itu. Apa salahnya tolong,
lagipun kasihan juga dekat Kak Rita.
Sekilas itu Alfira melihat jam yang
tergantung di dinding dapur itu. Dia perlu segera balik bila jam menunjukkan
pukul 3. Dengarnya, mak kata Hakim akan pulang dalam pukul 3 atau 4 petang. Dia
berharap dia tak akan bertemu dengan lelaki itu. Alfira akan ke sini waktu
Hakim bekerja. Dia lainlah sebab dia buka kedai sendiri, so tak kisah nak ke mana pun. Itu pun kedai ada pekerjanya yang
jaga.
“Dalam pukul 10 pagi. Boleh ya? Kamu
terus pergi tadika Puteri. Kamu tahu kan Tadika Sri Jaya tu?”
“Tau. Baiklah, esok nanti Fira ke
sana ya.”
“Terima kasih Fira. Kak Rita kamu tu
takut sangat menyusahkan kamu. Tak menyusahkan kamu kan? Kasihan dekat Puteri
sebab mama dan papa dia tak dapat datang. Jadinya, mak rasa kamu boleh tolong
pergi sana.” Puan Sadiah tersenyum senang apabila mendengar persetujuan dari
anak angkatnya itu.
****************
“HAKIM dah
balik!” laung Hakim setelah masuk ke dalam rumah. Alfira mesti ada, sebab dia
nampak kereta gadis itu di luar rumah tadi.
Mereka yang di ruang tamu itu terus
menoleh ke arah Hakim. Alfira sudah tak tentu arah. Ini baru pukul 1 kut. Kata
mak paling awal Hakim balik pun pukul 3. Ini tak, baru je pukul 1! Alfira sudah
tak keruan sekarang ini.
“Awal kamu balik hari ni? Macam tahu
je yang Fira ada kat sini.”
Hakim dan Alfira boleh pula tersedak
sekali. Mata Puan Sadiah dan Kak Rita sudah memandang mereka berdua silih
berganti.
Hakim mengaru anak tekaknya itu. Ada
je mak ni tau!
“Balik awal salah, balik lambat pun
salah mak ni. Hari ini pelajar Hakim tak ramai ada kelas petang. Kalau ada
kelas petang pun pelajarnya tak ada, sebab mereka ada program dekat KL.” Hakim
menjelaskan kenapa dia pulang awal hari ini.
“Kamu dah makan belum? Kalau belum
kamu pergi makan dekat dapur tu.” Puan Sadiah memandang anak bujangnya yang
sedang duduk berhadapan dengannya itu.
“Belum lagi. Memang Hakim kosongkan perut
sebab nak makan dekat rumah. Okeylah, Hakim ke dapur dulu.” Hakim terus saja
bangun dan ke arah dapur. Tidak sedikit pun dia menoleh untuk memandang Alfira.
“Kamu tolong sediakan lauk dekat
dapur tu ya. Hakim tu bukan boleh harap sangat. Nanti bersepah macam kandang
lembu abah kamu dapur tu kalau bagi dia yang buat.”
Alfira rasa macam tercekik tulang
ikan paus pula. Aduh kenapa mesti Hakim pulang awal pula ni! Nak tak nak
terpaksa juga dia ke dapur. Tak akan nak tolak pula.
“Baiklah mak. Fira pergi sediakan
lauk dulu ya.” Alfira terus berlalu pergi ke dapur.
Puan Sadiah dan Rita melihat
pemergian Alfira dengan ekor matanya. Rita tersenyum ke arah maknya. Maknya
menunjukkan isyarat tangan bagus.
“Ehh, awak nak makan juga ke?” Hakim
yang terkejut apabila melihat Alfira yang melintasi depan matanya sambil
memegang pinggan di tangan.
“Taklah. Saya dah makan tadi. Ni saya
nak sediakan lauk untuk awak.” Balas Alfira tanpa melihat wajah Hakim yang
sudah sedia duduk di ruangan meja makan itu.
“Tak apalah Fira, biar saya yang buat
sendiri. Awak ke depan je.” Hakim yang tadi sudah duduk terus bangun.
“Tak boleh. Mak dah suruh saya tolong
sediakan ni untuk awak. Bukan lama pun sekejap je.” balas Alfira. Periuk yang
berisi lauk pucuk ubi masak lemak sudah dibuka.
Hakim kini berdiri di sisi kiri
Alfira. Dia melihat saja tingkah Alfira yang sedang menyediakan lauk untuknya
itu. Dah agak dah, ni mesti mak yang suruh buat ni. Ada je Puan Sadiah Kasim ni
tau! Hakim kalau boleh tak mahulah Alfira ada kat sini. Dia memang tak boleh
tengok Alfira ada di depan matanya, kerana nanti jantungnya akan berdegup tidak
selari. Macam orang baru lepas marathon. Kalau boleh dia tak mahu tatap wajah
itu. Wajah kekasih orang. Arghhh!!! Memang
gila betul la. Lagi dia nak jauhkan diri dari gadis ini, mesti saja akan
berjumpa. Kalau boleh biar Alfira tak berada di dapur ni. Walaupun, sekejap je
Afira kat sini untuk menyediakan lauk, tetapi hanya satu minit pun boleh buat
jantung dia ni dah tak keruan.
“Tak apalah jangan buat. Awak pergi
je dekat depan. Jangan nak dengar sangat cakap mak tu. Kalau awak buat tak
ikhlas hanya sebab mak suruh baik awak ke depan je. Saya tahulah nak sediakan
lauk sendiri untuk makan isi perut saya.” ujar Hakim selamba. Agaknya kasar ke
tidak bahasa aku ni? Lantaklah asalkan Alfira jangan berada di dapur ni.
Alfira terus saja menoleh ke arah
Hakim yang berada tidak jauh di sebelahnya itu. Dia terus meletakkan lauk yang
sudah dicedoknya ke atas meja. Setelah selesai dia terus berhadapan dengan
lelaki itu. Agak kurang asam betul mulut Hakim ni!
“Saya ikhlas buat semua ni. Ya, mungkin
kalau mak tak suruh saya tak akan buat. Cuma tolong jangan pertikaikan ikhas
atau tak, itu hanya saya yang tahu. Ya, saya tak selesa berada dengan awak,
Kim. Awak tahukan apa yang terjadi antara kita sebelum ni? Saya cuba juga buat
macam biasa tapi tetap tak boleh. Saya tetap kekok berhadapan dengan awak.”
Alfira geram dan terus meluahkan rasa tidak selesanya kepada lelaki itu.
“Kalau macam tu kenapa awak datang
sini? Awak sendiri yang tak cuba untuk jauhkan diri dari saya. Jadinya, bukan
salah saya kalau saya dekat dengan awak. Memang ini rumah mak saya.”
“Ada hati yang perlu saya jaga. Mak tu
mak angkat saya. Sebelum awak pindah dekat sini pun, memang kerap saya jenguk mak.
Memang....., kalau boleh saya nak jauhkan diri saya dari awak tapi bukan mak.
Saya sedih dan rasa teruk bila mak ajak saya datang ke rumah dan saya selalu
mengelak. Padahal saya mengelak untuk jumpa awak.” Hakim mendengar saja luahan
Alfira itu. Jadinya, Alfira dan dia masing-masing cuba jauhkan diri.
“Senang je. Awak suruh je Fendi
melamar awak dan kahwin dengan dia. Mak mungkin akan faham dan dia tak akan
minta awak selalu ke sini.” Hakim memberikan cadangan bernas. Tapi cadangan itu
sepertinya menikam hatinya. Terlalu sakit untuk dia ungkapkan.
Alfira terdiam seketika. Dia tidak
tahu mahu membalas apa. Dia bukan jenis gadis yang terhegeh-hegeh minta lelaki
supaya menikahinya. Oh please no!
“Tolong jangan nak kaitkan Fendi
antara kita. Sudah cukuplah dulu saya berpisah dengan awak. Dan sampai sekarang,
masalah kita ni buatkan kita sukar nak berbaik. Saya cuma harap kita tak perlu
lagi buka kisah dulu. Perkara ni hanya akan buat kita bergaduh.” Alfira
berharap Hakim memahami kata-katanya.
Hakim menarik nafas panjang. Bukan
dia sengaja nak ungkit semua ni. Tapi dia tak boleh apabila mengingati yang
Alfira kini sudah dimiliki Fendi. Itu sepertinya membuatkan rasa geram dan
menyesal muncul.
“Mak asyik nak satukan saya dengan
awak. Saya suruh awak kahwin dengan Fendi pun demi kebaikan awak. Mungkin bila
awak dah jadi isteri orang, mak akan senyap dan tak akan kait-kaitkan kita
untuk bersama.”
“Tak akan saya nak suruh dan paksa
Fendi mengahwini saya? Dia tahulah bila tiba masanya nanti.”
“Jadinya, Fendi tak sayangkan awak.
Kalau dia sayang dan cintakan awak dari dulu dia akan ikat hubungan awak ke
arah yang lebih serius. Dia akan ka...”
“Cukup! Itu hak dia nak kahwin dengan saya
atau tak. Awak tak ada hak nak pertikaikan dia cintakan saya ataupun tidak.
Kalau awak dulu cintakan saya, kenapa awak nak berpisah dengan saya? Boleh awak
jelaskan?” Alfira terus memotong kata-kata Hakim itu. Geram sungguh dia dengan
lelaki yang mulut tak tahu jaga ni.
Terdiam Hakim apabila diajukan soalan
itu. Mendidih juga hatinya saat ini. Dia pun satu tak boleh nak kawal cemburu.
Sekarang ini padan muka kena batang hidung sendiri. Tanpa mereka sedar Puan
Sadiah terdengar perbualan yang tegang antara mereka itu. Puan Sadiah yang
menyorok di sudut tepi dinding itu hanya diam dan mendengar anak muda itu
bertelagah di dapur. Walaupun, suara mereka tidak berapa kuat kerana dikawal.
Tapi dapat juga didengar oleh Puan Sadiah.
“Masa tu baru saya sedar yang saya
silap sebab saya tak cintakan awak.” Ujar Hakim berbohong dengan perasaannya.
Hati kata lain tetapi mulut luah lain.
Masa itu dia fikirkan yang hatinya
sudah tidak ada lagi untuk Alfira, tapi dia silap. Dia menyesal sangat setelah
berpisah dengan Alfira. Hatinya hingga kini masih mahukan gadis ini.
Nak luluh air mata Alfira saat ini.
Tapi ditahan. “Do you see? Awak yang
tak cintakan saya masa tu dan jangan awak nak duga yang Fendi pun sama macam
awak.” Ujar Alfira.
“Okey maafkan saya. Saya cuma nak mak
berhenti nak satukan saya dengan awak. Saya fikir kalau awak ada ikatan yang
serius dengan Fendi mungkin mak tak akan lagi nak satukan kita.” Hakim mengakui
silapnya.
“Kalau ada jodoh saya dengan Fendi,
ianya tak akan ke mana.”
Hakim mengangguk. Entah sampai bila
dia perlu berhadapan dengan Alfira? Meskipun Alfira nanti berkahwin pun, tak
akanlah Alfira tidak berhubung lagi dengan mak? Kalau begitu sampai bila-bila
pun dia akan tetap bertemu dengan Alfira walaupun tidak kerap.
“Okeylah, baik awak sediakan lauk
yang lain. Nanti pelik pula mak nampak tak sudah-sudah lagi.” Hakim terus saja
mengakhiri pertelingkahan kecil itu.
Alfira terus menepuk dahinya. Aduhai,
ni kalau mak nampak apa nak dijawab pun dia tak tau. Cepat-cepat dia sediakan
lauk yang lain.
“Maaf. Sekejap ehh, awak nak air
apa?” Alfira yang sudah selesai menyediakan lauk di atas meja itu bertanya
kepada Hakim.
Hakim terus saja melabuhkan duduknya.
“Tak apalah. Bagi saya air kosong suam je.” Pinta Hakim. Alfira mengangguk.
Beginilah mereka, mudah bergaduh dan
mudah berbaik. Pelik juga mereka dengan sikap masing-masing. Tadi sudah
bertegang urat dan kini pula elok saja sambung kerja yang tergendala tadi.
Alfira mencapai gelas kosong itu dan
dibawa ke arah meja. Saat dia mahu meletakkan gelas itu di atas meja, tiba-tiba
saja tangannya dan tangan Hakim bersentuhan. Cepat-cepat Alfira menarik
tangannya semula. Mata mereka kini bertembung memandang antara satu sama lain.
Tidak lepas Hakim merenung Alfira, begitu juga Alfira.
“Ehemm ehem, dah sudah belum Fira?”
suara Puan Sadiah telah menyedarkan
renungan mereka itu. Terkocoh-kocoh Alfira berlagak biasa.
“Dah mak, dah. Okeylah, Fira nak balik
dulu. Awak pun selamat menjamu selera.” Alfira terus saja ke arah mak angkatnya
itu. Dia mencapai tangan Puan Sadiah dan digenggamnya erat.
“Okeylah mak, Fira nak balik ya.
Terima kasih ajak makan kat sini.” Ujar Alfira. Puan Sadiah mengangguk dan
membalas pegangan erat itu.
“Iyalah, dah jom mak hantar kamu ke
depan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan